Berada di bandar Quanzhou
Hari ketiga di China, kami menjelajah ke bandarQuanzhou! Perjalanan kami dari Xiamen ke Quanzhou mengambil masa kira-kira sejam melalui jalan darat. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat pemandangan indah di samping udaranya yang sangat nyaman.
Kami tiba di bandar Quanzhou tepat jam 11 pagi. Selepas mendaftar masuk ke hotel, kami di bawa makan tengah hari di sebuah restoran makanan halal di sini. Makanannya berkonsepkan bufet dan enak-enak belaka.
Quanzhou atau nama lainnya 'Zaitun' merupakan salah satu daripada bandar bersejarah dan mempunyai budayanya yang tersendiri. Ia juga terkenal sebagai bandar pelabuhan selain mempunyai kuil-kuil kuno dan masjid-masjid yang sangat terkenal di serata dunia.
Penggambaran pertama kami ialah Muzium Maritim Quanzhou. Muzium yang dibina pada tahun 1959 ini menyimpan pelbagai artifaks dan bukti kedatangan dan penyebaran agama Islam di Quanzhou. Mengikut catatan sejarah, Jalan Sutera Laut pernah menjadi laluan utama bagi pedagang dari seluruh dunia. Ia bagaikan sebuah jambatan pertukaran ekonomi dan kebudayaan bagi negara China dengan negara luar.
Seterusnya kami ke Masjid Qingjing yang terletak di daerah Fujian. Ia merupakan antara masjid yang tertua di China dan tersenarai sebagai peninggalan sejarah peringkat kebangsaan oleh Dewan Negara China. Ketibaan kami di sini disambut dengan laungan azan yang merduoleh Imam masjid yang juga menandakan masuknya waktu Asar. Dengan seni bina yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh seni bina Arab, masjid ini sentiasa menerima kunjungan baik yang ingin beribadat mahupun yang hanya datang untuk melawat.
Pengalaman hari pertama di Quanzhou, 'terbaik dari ladang' bak kata orang Malaysia! Esok kami akan ke lokasi seterusnya iaitu Makam Suci Islam, melihat persembahan boneka dan ke perkampungan etnik Hui. :)