(Oleh Farah dari CRI)
Awal hari ini terpaksa kami ucapkan selamat tinggal kepada bandar Xiamen yang cukup menawan. Walaupun berat rasanya hati, tetapi pengembaraan mesti diteruskan. Setelah menaiki bas selama satu jam setengah, kami tiba di bandar Quanzhou yang nampaknya lebih kecil, tetapi tidak kalah hebatnya baik dari segi ekonomi dan perdagangan, mahupun sejarahnya.
Bandar ini penting kerana pernah menjadi pelabuhan utama bagi Jalan Sutera Laut yang menghubungkan China dengan dunia luar. Maka tidak hairanlah, pelbagai pelosok bandar ini dihiasi dengan bermacam-macam arca bermotifkan perkapalan dan pelayaran.
Destinasi pertama untuk lawatan hari ini, Muzium Maritim Quanzhou, banyak mengajar kami tentang peranan yang dimainkan oleh Jalan Sutera Laut dalam memperkenalkan budaya asing ke China serta mengembangkan pelbagai agama.
Pameran Budaya Islam Quanzhou pula amat menarik minat saya sebagai seorang muslimah, kerana ia banyak menonjolkan sejarah dan pengaruh budaya Islam di Quanzhou. Kehidupan masyarakat Arab dan Parsi yang pernah tinggal di kawasan setempat juga dijadikan fokus bagi pameran ini.
Sebelum berangkat ke destinasi seterusnya, para wartawan sempat berwawancara dengan pengarah muzium, dan bergambar beramai-ramai.
Bertepatan dengan tema "Kembara Muslim", kami melawat pula ke Masjid Qingjing yang dibina pada tahun 1009 Masihi. Masjid tersebut adalah antara masjid yang paling tua di China, dan meskipun sebahagian daripadanya dalam keadaan runtuhan, namun ia masih lagi berfungsi sebagai masjid sebenar.
Dari luar, masjid Qingjing tidak menampakkan sebarang ciri seni bina China. Malah, tembok luar serta pintu utamanya lebih mencerminkan gaya Arab. Tembok tersebut yang dihiasi dengan ukiran ayat-ayat suci al-Quran memisahkan bahagian dalam masjid dengan dunia luar sehinggakan bahagian dalamnya sunyi sepi dan tenteram; sesuai dengan keperluan jemaah bersolat.
Rombongan kami cukup bertuah kerana diberi peluang untuk bertemu bual dengan imam masjid Qingjing, encik Ibrahim yang cukup fasih berbahasa Arab. Beliau berkongsi pelbagai pengalaman dan cabaran yang terpaksa dihadapi dalam usaha mengembangkan agama Islam di kawasan itu pada zaman yang serba moden ini.