Hari ini masuk hari keempat krew RTM berada di bumi China. Sememangnya China merupakan sebuah Negara maju dan pesat membangun. China dilihat sebagai pencabar bagi Negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Perancis, Britain terutamanya dalam sector ekonomi. Selain itu, negara China juga sangat kaya dengan khazanah alam, sejarah dan kepelbagaian kebudayaan etniknya.
Kembara kami hari ini memberi fokus bagaimana agama Islam mula bertapak di tanah besar China dan juga melihat seni kebudayaan masyarakat tempatan. Lokasi pertama di Lorong Tong Zhen, wilayah Fujian, rombongan media Malaysia dan Indonesia dibawa melihat persembahan patung boneka. Menariknya persembahan yang dijayakan anak-anak tempatan Quanzhou ini tidak ubah seperti wayang kulit di Malaysia. Cara ia dimainkan ialah dengan mengawal boneka tersebut menggunakan tali dan diiringi dengan alunan muzik tradisional. Setiap cerita yang disampaikan mempunyai mesejnya tersendiri. Antaranya berkaitan dengan sejarah negara China, cerita dongeng, cerita kanak-kanak dan banyak lagi. Nyata kebudayaan Asia itu tidak jauh bezanya.